DUNGUN, 2 Oktober – Seorang penolong pegawai perubatan ditemui lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi bersama tujuh rakannya di Air Terjun Chemerong, Hulu Dungun, pagi Jumaat.
Mangsa, Mohd Ikmal Awid, 25, yang bertugas di Hospital Kemaman, dipercayai dihanyutkan ke kawasan air lebih dalam dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi.
Mangsa dikatakan tidak pandai berenang dan pada awalnya mandi di kawasan cetek sebelum dihanyutkan arus.
Dia kemudian cuba kembali ke kawasan cetek, namun gagal sebelum hilang daripada pandangan rakan-rakannya.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat menemui mangsa di dasar air pada kedalaman kira-kira tiga meter sekitar jam 11.45 pagi.
Rakan-rakan mangsa kemudian memberikan bantuan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Mangsa dipercayai berkunjung ke kawasan air terjun berkenaan bersama tujuh rakannya sempena cuti hujung minggu.