Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez, Sepanyol

KUALA TERENGGANU, 7 April - Pelumba muda berbakat kelahiran Terengganu, Qabil Irfan, terus mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila meraih kemenangan berganda dalam perlumbaan 'ESBK Talent Cup' di Jerez, Sepanyol, semalam.

Qabil menamatkan Perlumbaan 2 dengan cemerlang, sekaligus mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menjuarai Perlumbaan 1 sehari sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyambut baik kejayaan tersebut serta merakamkan rasa bangga beliau terhadap pencapaian pelumba cilik itu.

"Tahniah buat Qabil Irfan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang muncul Juara bagi kategori ESBK Talent Round 1 Race 2 hari ini di Jerez, Sepanyol.

"Ia kemenangan buat kali kedua bagi Qabil selepas muncul Juara bagi Race 1 kelmarin. Qabil berjaya mengenepikan pesaing-pesaing daripada kelab permotoran negara  lain bagi cabaran pada kali ini.

"Semoga dipermudahkan urusan Qabil, diberikan kekuatan untuk terus memberi saingan dan mengekalkan kejuaraan bagi edisi perlumbaan lain.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam.

Dalam pada itu, di sebalik kejayaan ini, usaha gigih turut datang daripada pasukan pengurusan Qabil.

Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mendedahkan perancangan teliti yang dilakukan bagi memastikan Qabil mendapat tempat dalam pasukan terbaik.

Menurut satu hantaran laman media sosial ZK Racing, usaha ‘mengetuk pintu’ beberapa pasukan Eropah akhirnya membuahkan hasil apabila Qabil dipilih menyertai pasukan kompetitif, VHC Racing.

“Alhamdulillah, permulaan season yang baik untuk Qabil di ESBK Championship. Pasukan VHC telah memberikan motosikal yang terbaik untuk Qabil.

"Kita tahu pasukan ini adalah pasukan yang kompetitif di dalam kategori ini. Jadi, pada awalnya memang saya ada berbincang dengan beberapa pasukan, bererti ini adalah motosikal yang terbaik yang kita dapat,” jelas Zulfahmi.

Tambah Zulfahmi, pasukannya turut merancang beberapa sesi ujian di Eropah untuk Qabil bagi memastikan pelumba muda itu kekal konsisten sepanjang musim.

Dia juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong, terutamanya ibu bapa Qabil yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan anak mereka berada pada tahap prestasi terbaik.

Pusingan kedua ESBK akan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei di lokasi litar yang akan diumumkan kelak.