Berita :
Jambatan Retok Matkingsway Perkasa Ekonomi  Hulu Besut
Jambatan Retok Matkingsway Perkasa Ekonomi Hulu Besut
Norekwan Mamat
16 Apr 26
169

BESUT, 19 April – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkukuh pembangunan luar bandar apabila projek jambatan Retok Matkingsway di Kuala Sayap, Hulu Besut kini siap sepenuhnya dan boleh digunakan oleh penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, pembinaan jambatan tersebut membawa sinar baharu kepada penduduk yang sekian lama berdepan kesukaran perhubungan, khususnya ketika musim tengkujuh.

Menurut beliau, projek berkenaan direalisasikan melalui peruntukan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan seimbang hingga ke peringkat akar umbi.

“Pembinaan jambatan ini bukan sahaja memudahkan laluan penduduk, malah menjadi nadi penting kepada aktiviti ekonomi setempat, khususnya para pekebun.

“Ia membantu mempercepatkan urusan mengangkut hasil pertanian serta menjadi penyelesaian kepada masalah perhubungan yang sering terjejas ketika banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Besut, Ahmad Rizal Mamat atas usaha mendapatkan peruntukan serta merasmikan projek tersebut.

Ucapan terima kasih turut diberikan kepada Pengerusi JPKK Kuala Sayap, Mohd Shafiee Mamat yang aktif memperjuangkan keperluan penduduk kampung.

Beliau menegaskan, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan kepimpinan tempatan menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan projek tersebut.

“Sinergi ini amat penting dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat,” ujarnya.

Pembinaan jambatan Retok Matkingsway dijangka mampu merancakkan sektor pertanian setempat serta meningkatkan taraf hidup penduduk, selaras dengan aspirasi Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan