Jangan Anggap Kehadiran Pelancong Menyusahkan Akibat Berlaku Kesesakan
KUALA NERUS, 5 Januari - Jangan pernah melontarkan kata-kata negatif serta membina naratif bahawa kehadiran pelancong ke negeri ini menyusahkan kerana berlaku kesesakan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran pelancong ke negeri ini tidak boleh dihalang sebaliknya ia merupakan pintu rezeki kepada rakyat dan menyumbang kepada limpahan ekonomi.
"Kalau boleh kita hendak ramaikan lagi kerana ia menyumbang kepada pendapatan terus kepada rakyat yang akan menerima hasil berganda.
"Mengenai kenyataan yang minta supaya pelancong jangan datang ke negeri Terengganu itu hanya cakap-cakap luar yang tidak berasas dan sangat tidak wajar kerana Terengganu kini menjadi destinasi pilihan utama untuk pelancong datang berkunjung ke negeri ini.
"Kita hendak seramai mungkin datang ke negeri ini, cuma kita akan cari jalan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang berlaku dengan melakukan kajian untuk mewujdukan 'smart traffic'," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Porgram Bersih Pantai Monsun Terengganu 2024, di sini, semalam.
Mengulas mengenai sasaran jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini pada tahun 2025, Razali berkata pihaknya masih belum menetapkan jumlah kerana ingin melakukan beberapa perubahan baharu.
"Tahun ini kita hendak berbincang lagi dengan beberapa agensi supaya mendapat dapat menjangkakan jumlah yang lebih efisien untuk memastikan akan berlaku lonjakan yang lebih ketara.
"Saya rasa kita boleh mencapai angka lebih 7.8 juta sebagaimana yang dicatatkan pada tahun lalu bagi tahun ini,"katanya.