'Jangan Main Politik Dalam Sukan'

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Kepimpinan sukan diingatkan tidak membawa sentimen politik kepartian dalam menguruskan sukan termasuk bola sepak agar usaha memajukan sukan negeri Terengganu tidak terbantut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata Kerajaan Terengganu hanya membenarkan bendera hitam putih (bendera Terengganu) sahaja 'dikibarkan' dalam pengurusan sukan supaya pembangunan sektor itu dapat diberi tumpuan sepenuhnya oleh semua pihak.

“Kita tidak boleh membawa sentimen politik kepartian dalam menguruskan sukan bola sepak, tanggalkan bendera hijau atau biru dan angkat bendera hitam putih (Terengganu) dalam pengurusan bola sepak, barulah kita boleh fokus destinasi yang ingin kita tuju dengan mengangkat dan menjulang jati diri negeri kita,” katanya ketika diwawancara TV Darul Iman di sini hari ini.

Katanya dalam masa yang sama, kerajaan tidak boleh memberi tumpuan untuk memajukan sukan bola sepak semata-mata, tetapi pemantauan untuk membangunkan sukan negeri Terengganu mesti dibuat secara menyeluruh termasuk juga sukan lain.

Jelasnya, sukan negeri Terengganu dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) secara keseluruhan manakala persatuan sukan mempunyai peranan masing-masing dalam membangunkan sukan negeri itu mengikut kapasiti sukan yang dipertanggungjawabkan.

“Kita (kerajaan) lebih suka melihat persatuan-persatuan sukan bergerak lebih bebas dan aktif, ada kebebasan dan mereka membuat sesuatu dengan keupayaan dan kemampuan masing-masing.

“Saya akan berjumpa dengan pemegang taruh dalam sukan bola sepak termasuk TFC, PBSNT dan bekas pemain-pemain Terengganu yang mencipta nama suatu ketika dahulu untuk mengambil pandangan dan meneliti komen-komen mereka terhadap pasukan bola sepak kita,” ujarnya lagi.


Tag: