Jangan Tunggu Untuk Berpindah - Hairysam
Hairysam bersama anggotanya meminta Saadiah Osman bersiap sedia untuk pindah jika paras air makin naik |
Jangan jadikan paras air sebagai aras pengukur untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir sebaliknya patuhi arahan supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini, demikian nasihat Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba, Hairysam Mat Taha.
Menurutnya, penduduk yang terlibat perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan demi keselamatan mereka dan ahli keluarga.
Tinjauan Teganukita bersama pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Berang ke Kampung Nibong dan Bukit Tadok ekoran air semakin naik apabila hujan lebat sejak semalam bagi memastikan penduduk yang terlibat berpindah segera sebelum banjir lebih teruk.
"Biasanya dah menjadi amalan bagi mereka, air sudah mencecah anak tangga rumah atau lantai..barulah nak berpindah dan ini menyukarkan pihak yang terlibat untuk melakukan operasi menyelamat.
"Kalau banjir semakin besar, semakin sukar lah pihak kami untuk ambil mangsa sekiranya malam dan ditambah lagi dengan arus air deras...jadi saya nasihatkan berpindah awal demi kebaikan semua pihak kerana paras air Sungai Telemong makin meningkat,"katanya kepada pemberita di Kampung Nibong, Hulu Terengganu.
Hairysam berkata, dengan kekuatan anggota seramai 52 orang, tidak mustahil menyukarkan pergerakan sekiranya berlaku banjir yang lebih teruk dan kerjasama semua pihak terutama penduduk amat diperlukan.
Tambahnya lagi, ibu bapa juga perlu memantau anak-anak daripada bermain banjir dan jangan jadikan banjir sebagai pesta demi keselamatan mereka.
Bagi Saadiah Osman,42, dari Kampung Nibong, beliau akan berpindah sekiranya air mula mencecah tiga anak tangga rumahnya dan itu merupakan amalan mereka sekeluarga.
"Tapi jika tengok suasana hari ini, nampaknya air makin besar sejak jam 10 pagi tadi, kami sudah bersedia berpindah bila-bila masa,"katanya.
Sementara itu bagi pasangan suami isteri, Hassan Abdullah,71, dan Minah Ahmad,66, juga dari Kampung Nibong menegaskan mereka akan berpindah dalam masa terdekat memandangkan air semakin naik dengan cepat.
"Pak cik tengok air cukup laju dengan hujan lebat sejak semalam ditambah lagi air banjir yang pertama belum lagi surut sepenuhnya.
"Semua barang-barang sudah lama dinaikkan ke tempat yang lebih tinggi dan dokumen penting akan dibawa bersama nanti"katanya.