Jawatankuasa Baharu Masjid Akan Dilantik Tahun Hadapan

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Proses pelantikan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang baharu di negeri ini akan bermula pada 1 Januari tahun hadapan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Sheikh Ismail berkata, AJK masjid sebelum ini telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk meneruskan lagi perkhidmatan selama tiga bulan

"Sepatutnya tempoh perkhidmadtan berakhir pada 30 September baru-baru ini, namun atas perkenan Tuanku, ia dilanjutkan hingga akhir tahun ini.

"Jadi AJK di masjid dan surau yang ada sekarang ini akan tamat pada 31 Disember 2023, jawatankuasa baru akan diproses bermula 1 Januari 2024 dan akan tamah tempoh lantikan pada 31 Disember 2026, selama tiga tahun," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat MAIDAM baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, 16 orang akan dilantik sebagai AJK masjid yang baharu setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu.

"Dalam 16 orang itu 10 orang akan dilantik oleh Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang terdiri Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari.

"JHEAT juga akan meluluskan baki enam lagi jawatankuasa dengan sekurangnya diwakili dua orang wanita dan dua orang belia setelah dipilih oleh anak mukim atau komuniti setempat," ujarnya.

Katanya, penambahbaikan yang akan dilakukan itu nanti berdasarkan hasil tinjauan yang telah dijalankan selama ini supaya institusi berkenaan tambah diperkasakan.

"Dalam masa enam bulan kita juga akan aturkan kursus wajib untuk dihadiri oleh ahli jawatankuasa di 510 buah masjid ini untuk mengendalikan masjid dan memainkan peranan serta tugas bagi memastikan masjid akan lebih meriah dan diamarahkan.

"Hendak tengok ada perubahan dalam melakukan kegiatan masjid kerana wawasan kita selama ini kalau boleh kita hendak tengok Solat Subuh jemaahnya hadir macam waktu Solat Jumaat," ujarnya.