Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Rakyat Malaysia yang berhasrat menunaikan umrah dijangka dapat melakukan ibadah tersebut akhir tahun ini selepas Arab Saudi mengumumkan ibadah itu dibuka semula kepada jemaah dari negara tertentu, bermula 10 Ogos depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun jangkaan itu tertakluk kepada kebenaran daripada dua negara dan situasi kes jangkitan Covid-19 di negara ini.
Selain kebenaran pihak Arab Saudi, semua pihak perlu akur dengan pendirian dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat pertimbangan lain demi menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia.
"Jika sebelah Arab Saudi terima (buat umrah), kita pula perlu bersedia akur pendirian MKN yang mungkin ada pertimbangan lain untuk jaga keselamatan dan kesihatan semua pihak.
"Saya baru berbincang dengan Duta Besar Arab Saudi semalam dan alhamdulillah Malaysia sudah mendapat kebenaran memohon visa pelancongan ke Arab Saudi.
"Walau macam mana pun, kita kena tunggu dan mendapatkan kepastian dari semasa ke semasa termasuk kebenaran melakukan umrah dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan.
"Kita harap sehingga tempoh tersebut isu berkaitan penyebaran Covid-19 dapat diredakan sebaik mungkin dengan rakyat mematuhi SOP.
"Pada masa sama vaksinasi di negara ini dapat berjalan pada kadar maksimum. Jika hal ini kita dapat selesaikan dengan baik jadi untuk kita mengunjungi Tanah Suci Mekah tahun ini dapat direalisasikan insya-Allah.
"Saya yakin dalam satu atau dua bulan lagi kita sudah ada keputusan daripada kedua negara termasuk pihak MKN," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada penyampaian sumbangan kepada Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Marang, hari ini.
Hadir sama dalam serahan sumbangan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Ismail Osman.