• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

JHEAT Tetapkan SOP Bagi Proses Pengeluaran Kebenaran Berkahwin

KUALA TERENGGANU, 6 Mei- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memutuskan untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi proses pengeluaran kebenaran berkahwin di Negeri Terengganu berkuatkuasa 3 Mei.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata, penetapan SOP itu merujuk kepada situasi semasa berkaitan dengan pelanjutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) / Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan ancaman wabak COVID-19.

Katanya, pemohon hendaklah menghubungi talian hotline Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT atau Pejabat Agama Daerah (PAD) bagi mendapatkan pertanyaan dan penjelasan cara dan kaedah yang sepatutnya dilakukan.

"Membuat permohonan kebenaran berkahwin secara atas talian melalui emunakahat.terengganu.gov.my.

"Cetak dan sempurnakan borang permohonan (termasuk tandatangan pihak-pihak), serta sediakan semua dokumen yang diperlukan sebagaimana senarai semak borang," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, borang yang telah sempurna beserta semua dokumen perlu diambil gambar dan dihantar ke nombor hotline yang berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Mat Azmi berkata, Pendaftar akan membuat semakan awal pada borang dan dokumen yang telah dihantar oleh pemohon melalui whatsApp hotline.

"Jika borang adalah lengkap dan Pendaftar berpuas hati, Pendaftar akan menetapkan satu tarikh yang sesuai untuk pemohon hadir sendiri ke PAD yang berkenaan untuk menghantar borang permohonan beserta dokumen yang diperlukan, bayaran fi yang berkaitan dan terima borang kebenaran berkahwin atau sokongan berkahwin pada hari yang sama," ujarnya.


Tag: