KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Johan qariah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, Nor Hidayah Abdul Rahman, 33, mengakui kehadiran adik kembarnya, Nor Jannah, 33, yang turut bersaing menjadi detik manis yang tidak dilupakannya.
Menurutnya, ia merupakan kali kedua selepas kedua-dua mereka bertemu di peringkat negeri sebelum ini. Dalam MTHQK 2024 kali ini, Nor Hidayah bertanding sebagai johan menunggu dan Nor Jannah mewakili negeri Terengganu.
"Sejujurnya, saya agak gentar juga 'bertemu' dengannya sebab dia boleh dikatakan pencabar terdekat yang tahu kemampuan saya. Namun, Alhamdulillah sebagai ahli keluarga, saya rasa bangga dengan apa yang dicapai oleh kami berdua.
"Terima kasih kepada ibu ayah saya yang tidak jemu mendidik terutama dalam bidang al-Quran. Juga kepada suami yang memberi kekuatan dan keluarga mertua yang menyokong ibarat tulang belakang dalam perkara yang saya lakukan," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini semalam.
Pada majlis di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, semalam Nor Hidayah dan Nor Jannah membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil.
Dalam pada itu, naib johan qari turut disandang oleh anak Terengganu apabila diraih oleh bilai Masjid Abidin, Abdul Hadi Che Ab Halim.
Seorang lagi anak Terengganu, Tuan Nor Syaidah Azhar meraih tempat kedua dalam kategori hafazan.