Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Aplikasi Tiga Pendekatan Utama Nilai Keberkesanan Tukun
Terengganu Aplikasi Tiga Pendekatan Utama Nilai Keberkesanan Tukun
Hidayah Azlin
6 jam yang lepas
130

KUALA TERENGGANU, 28 September – Kerajaan Negeri Terengganu mengaplikasikan tiga pendekatan utama berstruktur dalam menilai keberkesanan Program Tukun Negeri Terengganu bagi memastikan projek pemuliharaan marin berkenaan memberikan impak maksimum kepada ekosistem dan ekonomi nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, penilaian impak projek tersebut dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi sudut akademik, pemantauan fizikal serta maklum balas komuniti maritim.

Menurut beliau, dapatan kajian saintifik daripada sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan membuktikan bahawa kawasan tukun tiruan di perairan Terengganu merekodkan prestasi tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Pantai Timur.

"Hasil kajian mengesahkan bahawa setiap satu jam usaha penangkapan ikan di Terengganu mampu memperoleh purata 8.2 kilogram (kg) ikan campur, dengan purata berat hasil tangkapan mencapai 83.01 kg bagi setiap trip tangkapan selama 9 jam setengah.

"Malah, purata kepadatan ikan di lokasi tukun Terengganu mencapai 70.5 peratus, iaitu yang tertinggi berbanding keseluruhan lokasi tukun tiruan di Pahang (50%), Johor Timur (60.5%), dan Kelantan (31.1%)," jelas beliau menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr. Azman menambah, selain bukti saintifik, pendekatan kedua yang diguna pakai adalah menerusi Program Pemantauan Tukun secara berdisiplin. Menerusi kaedah ini, dokumentasi visual seperti rakaman video dan foto dasar laut diambil secara berkala bagi mengesahkan kehadiran serta kepelbagaian spesis ikan di kawasan tukun.

Manakala kaedah ketiga pula merangkumi pengumpulan maklumat dan maklum balas secara terus daripada kumpulan sasar, iaitu para nelayan tempatan dan komuniti pemancing rekreasi menerusi interaksi di lapangan serta pangkalan pendaratan ikan.

"Apabila kita berada di kuala dan melihat bot nelayan masuk, fenomena 'nyembam luang' dapat disaksikan secara jelas. Situasi ini menggambarkan muatan bot yang sarat dan berat berikutan tangkapan ikan yang melimpah-ruah.

"Dapatan kajian akademik berserta bukti di lapangan ini membuktikan bahawa program pembiakan tukun tiruan bukan sahaja berjaya memulihara ekosistem marin, malah menjadi pemangkin utama dalam menjamin keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan nelayan di Terengganu," ujar beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan