JPNT Kenal Pasti Lokasi Tambah Baik Pencahayaan Dalam Bandar
Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengenal pasti beberapa lokasi di bandar raya ini yang memerlukan penambahbaikan sistem pencahayaan.
Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, JPNT akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya serta Pejabat Daerah Kuala Terengganu untuk meningkatkan pencahayaan di lokasi-lokasi tumpuan ramai.
Katanya, selaras dengan konsep mewujudkan bandar raya selamat, pencahayaan yang mencukupi pada waktu malam adalah perlu samada dalam bentuk lampu awam, papan pengiklanan dan sebagainya.
“Menerusi lawatan tinjauan pencahayaan dan keceriaan suasana malam di Bandaraya Kuala Terengganu yang diadakan malam tadi di sepanjang laluan utama Kuala Terengganu menuju ke Losong dan seterusnya ke Taman Tamadun Islam, didapati beberapa tempat masih tidak cukup pencahayaan dan perlu ditambah baik.
“Antaranya kawasan sekitar Shahbandar, Taman Rekreasi Waterfront, Pulau Kambing serta tempat meletak kenderaan di sebelah Paya Bunga Sentral yang berpotensi untuk dipasang lampu-lampu sebagai pengiklanan pemasaran.
“Selain premis kerajaan dan swasta, kita juga akan mengenalpasti premis-premis individu yang sesuai untuk diletak lampu-lampu bagi menerangi kawasan sekeliling dan juga boleh menarik orang pergi ke kawasan itu termasuk rumah-rumah tradisional dan kedai antik yang mempunyai binaan lama,” ujarnya kepada Teganukita, hari ini.
Katanya, selain menambah pencahayaan untuk menarik pengunjung datang ke lokasi tumpuan pelancong, kerajaan juga akan tambah pencahayaan di beberapa premis tertentu untuk meningkatkan keselamatan.
Menurut beliau, bagi merealisasikan hasrat ini semua pihak harus memainkan peranan.
“Kita mahu mewujudkan kesedaran kepada semua pihak yang terlibat, dimana apabila pencahayaan ditingkatkan ia akan menarik lebih ramai pengunjung datang.
“Contohnya, kalau hotel mempamerkan sistem pencahayaan menarik ia akan menjadi satu bahan pemasaran yang efektif,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya akan cuba memaklumkan kepada premis-premis berkaitan untuk meningkatkan pencahayaan yang sekali gus dapat mempromosikan premis terbabit selain memberi daya tarikan kepada Negeri Terengganu.