JPNT Sasar 8,000 Pengunjung Sempena MITEC
Antara gerai pameran yang disediakan oleh pihak Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu pada MITA Fair di Mitec. |
Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mensasarkan 8,000 pengunjung ke gerai Terengganu di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur bagi Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam sehingga 21 Januari.
Penolong Setiausaha Kerajaan (Pelancongan & Kebudayaan) JPNT, Wan Mohd Firdaus Wan Sembak berkata, selaras dengan kempen Beautiful Terengganu yang giat dijalankan, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mempromosikan negeri dalam mana-mana acara termasuk di peringkat antarabangsa.
Katanya, selain mempromosikan kebudayaan serta tempat-tempat menarik di Terengganu, beberapa gerai diambil oleh pihak JPNT untuk mempromosikan produk-produk negeri seperti nasi dagang dan keropok lekor sejuk beku oleh T-Kitchen, bekang, satar serta keropok keping.
"Di samping itu, kita juga menjual pakej-pakej penginapan, resort dan hotel-hotel di bawah kerajaan negeri seperti Permai Hotel dan Primula Beach Hotel di bawah TI Hotel And Resort Management.
"Jadi semua hotel-hotel ini menawarkan pakej serendah RM150 untuk satu malam bagi percutian di Terengganu," katanya.
Di samping itu juga, Wan Firdaus berkata pihaknya akan bergerak lebih aktif selepas ini dalam mempromosikan Terengganu kepada pelawat luar dan seluruh dunia.
"Pihak kami akan mempromosikan apa sahaja produk serta hotel-hotel di Terengganu bukan hanya bertujuan untuk memperkenalkan negeri ini malahan untuk menjana pendapatan penduduk tempatan.
"Ianya selaras dengan hasrat Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang ingin menjadikan pelancongan sebagai sumber kepada rakyat di Terengganu," katanya.
Sebelum ini, pengarah jabatan tersebut, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata beberapa negeri telah dipilih bagi program Jelajah Beautiful Terengganu yang akan bermula pada Februari ini.