KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) menahan empat bot nelayan tempatan dalam Ops Penyu yang menyasarkan penggunaan pukat pari dan pukat tunda musim tengkujuh (PTMT) tanpa kebenaran.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, Unit Perlindungan Sumber telah mengadakan operasi tersebut di sekitar perairan Kuala Terengganu hingga Marang.
“Bot pertama ditahan pada 7.30 pagi semalam pada jarak 0.3 batu nautika dari Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu kerana menjalankan aktiviti pukat tunda musim tengkujuh tanpa kebenaran.
“Seterusnya, bot kedua dan ketiga ditahan kerana kesalahan melanggar syarat lesen dan tidak memasang peranti penyisih penyu (TED).
"Dalam operasi tersebut juga, kami menahan sebuah bot pukat jerut ikan zon C di perairan Pulau Tenggol, Dungun kerana menggunakan kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, terdapat seekor penyu juvenil terperangkap di dalam peralatan pukat tunda yang digunakan pada salah satu daripada empat vesel yang ditahan.
“Semua vesel tersebut di bawa ke Pangkalan Pulau Kambing untuk di siasat di bawah Sek. 11(3)(a) – mengendalikan peralatan tanpa suatu lesen yang sah, 11(3)(b) – memiliki peralatan tanpa suatu lesen yang sah dan Sek. 8(b) iaitu melanggar syarat lesen.
“Kami memandang serius kes kematian penyu kebanyakannya mati disebabkan kecuaian manusia seperti pembuangan sampah terutama plastik, penggunaan pukat yang tidak dibenarkan, pembuangan pukat yang rosak (ghost net) ke laut dan perbuatan khianat.
“Setiap tahun, pelbagai program pendidikan telah dilaksanakan bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada orang awam terutama pengusaha sektor pelancongan dan nelayan supaya bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga haiwan marin ini yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem di lautan,” katanya lagi.
Tegas Ruzaidi, Orang awam diseru untuk melaporkan sebarang penemuan penyu yang masih hidup atau mati dengan menghubungi hotline FISHCOM di talian 03-8870 4058 atau Pejabat Perikanan Daerah yang berhampiran bagi membolehkan tindakan susulan dapat diambil.
Sehingga kini, sebanyak 16 kes kematian penyu yang mana 16 ekor adalah Penyu Agar dan seekor Penyu Lipas sehingga 31 Januari 2022 hasil Laporan penemuan penyu mati diterima oleh orang awam.