JPS Giat Tambahbaik 17 Siren Amaran Banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu kini sedang giat melakukan penambahbaikan 17 siren amaran banjir bagi mendepani Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 yang dijangka bermula pertengahan Oktober 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata ia adalah antara langkah kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana itu, selain persiapan berbentuk logistik, bekalan makanan, serta persiapan di pusat pemindahan.

Menurut beliau, pihaknya akan memastikan kesemua kemudahan stesen hujan dan stesen paras air berfungsi dengan baik terutamanya di lokasi tumpuan kawasan banjir.

"Ia termasuk 10 kamera litar tertutup (CCTV), 64 stesen hujan telemetri dan 15 stesen air telemetri yang dihubungkan dengan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri (PRABN) di sini.

“Justeru itu, kerajaan negeri menerusi JPS Negeri Terengganu membuat persiapan rapi melalui kemudahan stesen dan peralatan berkenaan sebagai langkah awal sekiranya berlaku banjir.

"Dengan membuat persiapan yang sewajarnya sepanjang MTL, kita akan dapat mengurangkan impak bencana banjir dan sebagainya serta memastikan tiada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang teruk," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Tambah Hanafiah, setakat ini JPS telah melakukan kerja penyelenggaraan dan pengujian pada awal Oktober termasuk melakukan kerja pembaikian terhadap siren amaran bunyi yang bermasalah.

Dalam masa sama, beliau berkata orang ramai perlu cakna dan ambil tahu bunyi siren amaran banjir sebagai langkah kesiapsagaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Hanafiah turut menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir besar.