Jual Makanan Kepada Orang Tidak Berpuasa, Wanita Dipenjara

SETIU, 27 Mac – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Setiu selepas mengaku bersalah atas kesalahan menjual makanan kepada individu yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Mahkamah Syariah Setiu selepas wanita terbabit mengaku bersalah mengikut Seksyen 19(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Mengikut keputusan mahkamah, sekiranya pesalah gagal membayar denda RM2,000, hukuman penjara akan ditambah selama 15 hari, menjadikan jumlah keseluruhan 20 hari penjara.

Bagaimanapun, pesalah berjaya membayar denda yang dikenakan dan kini menjalani hukuman penjara selama lima hari di Pusat Tahanan Wanita Pengkalan Chepa, Kelantan, bermula 24 Mac 2025 sehingga 28 Mac 2025.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustaffa.