Kacau 'Bubur Sugha' Tradisi Wajib Hotel Primula

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos-Masuk sahaja bulan Muharam, pastinya masyarakat Islam di negara kita akan sibuk membuat hidangan yang dikenali sebagai bubur asyura.

Tidak ketinggalan, Primula Beach Hotel, turut mengambil bahagian meneruskan acara memasak bubur 'sugha' secara bergotong royong yang menjadi salah satu aktiviti tahunan mereka sejak tahun 2000.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, program memasak bubur 'sugha' sebanyak tiga kawah pada kali ini membabitkan 25 kakitangan hotel.

"Sebanyak 20 kilogram (kg) beras digunakan, ikan selayang (15kg), daging (10kg), ayam (3kg),
santan (15kg) dan bahan-bahan sampingan lain seperti ubi, kerisik dan rempah asyura menghasilkan 500 bekas bubur 'sugha'.

"Acara memasak bubur ini bermula pada jam 8.30 pagi dan pengagihan bermula pada jam 3.15 petang kepada surau dan beberapa agensi kerajaan berdekatan serta warga kerja hotel," katanya kepada pemberita.

Tambah Suaibah, disamping
menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan, program seperti ini mengingatkan kita 
semua bahawa walaupun keadaan semasa dan ekonomi negara masih tidak sihat namun tidak ada alasan untuk tidak membuat kebaikan.

"Walaupun  dilakukan secara sederhana, kemeriahan dan keceriaan sesama kakitangan dapat dilihat semasa mereka mengacau bubur asyura secara gotong-royong," katanya.

Suaibah berkata, aktiviti sedemikian akan terus dikekalkan bagi mengeratkan ukhwah sesama kakitangan di samping memupuk keceriaan dalam program sedemikian.