KUALA TERENGGANU, 28 November- Kakitangan kerajaan mestilah seiring dan fokus dengan hala tuju negeri bagi mencapai hasrat dan matlamat meneraju era baharu negeri Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, jika kakitangan diberikan kepercayaan sebagai akar dalam menggerakkan perancangan sumber dan kebajikan yang diatur untuk rakyat, maka sudah pasti buah-buah (hasil) akan tumbuh dengan baik dan keindahan dapat dilihat dengan jelas.
"Begitu juga sebaliknya, andai kepercayaan dirosakkan, tidak seiring dan tidak berfokus maka keindahan itu tidak dapat dilihat, bahkan memburukkan lagi negeri mahupun pokok yang diibaratkan sebagai contoh," katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Tambahnya, sebuah negeri bukan sahaja memerlukan nakhoda yang hebat dan berwawasan untuk mendepani badai, tetapi dalam masa sama perlukan sokongan yang menghayati hasrat dan matlamat untuk menerajui era baharu Terengganu.
"Para kakitangan ini tidak boleh lagi hanya selesa bekerja menyempurnakan rutin semata-mata. Bahkan, mereka diharap dapat menyumbang sepenuh kemampuan demi mencapai kemajuan sejagat.
"Saya penuh yakin kakitangan negeri Terengganu yang berada dalam bahtera ini merupakan individu yang telah terpilih dan memiliki kemampuan mapan, masakan tidak trend dan data pembangunan yang lepas menunjukkan prestasi yang baik," ujarnya.
Oleh itu, beliau mengingatkan supaya pihak kerajaan tidak melakukan sebarang pertukaran jawatan dalam masa singkat sehingga mengganggu tugas dan fokus kakitangan, apatah lagi ketua-ketua jabatan yang sentiasa berfikir untuk merangka perancangan jangka masa panjang.
"Walaupun dalam masa sama, kita tidak menafikan ada keperluan tertentu, tetapi pertukaran terlalu kerap boleh mencacatkan pembangunan dan kemajuan yang ingin dicapai.
"Kepada kakitangan yang mencapai prestasi pula, haruslah diberi penghargaan," katanya.