Janaan Hasil Era Dr. Sam Lebih Tinggi Ketimbang MB Terdahulu
Kampung Cina Bakal Berwajah Baharu
Lebih 100 buah bangunan di Kampung Cina akan tampil berwajah baharu sepenuhnya menjelang hujung tahun ini bagi menjadikannya lebih ceria untuk disajikan kepada pengunjung.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata satu program telah mula dijalankan oleh komuniti di Kampung Cina tersebut supaya ianya lebih meriah.
Katanya, komuniti tersebut telah memulakan langkah dengan mengecat kembali bangunan yang ada di sekitar Kampung Cina tanpa bantuan oleh jabatan serta agensi lain.
“Hasrat kita adalah untuk mengubah wajah keseluruhan Kampung Cina. Jadi komuniti ini bermula di sebelah Pasar Besar Kedai Payang dan Hotel Seri Malaysia. Sebahagiannya telah pun bermula.
“Tumpuan yang dibuat adalah bangunan yang telah usang catnya, yang itu kita akan cat dulu manakala yang masih elok kita akan biarkan dahulu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pancuran Air Bermuzik Sempena Festival Peranakan Terengganu 2017 di Kampung Cina, Kuala Terengganu, malam tadi.
Dalam pada itu, Tun Ahmad Faisal berkata salah satu hasrat Menteri Besar, Dato, Seri Ahmad Razif Abd Rahman untuk melihat komuniti di sesuatu kawasan membangunkan sendiri tempat mereka.
“Jika mereka yang bangunkan sendiri maka komuniti itu akan menjaga dan menyelenggara produk-produk di kawasan itu dengan lebih berhemah,” katanya.