Kampung Talong Dimajukan Sebagai Hab Limau


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 13 November- Kira-kira 25 hektar Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Sungai Rambai, Bukit Besi, di sini akan dimajukan sebagai hab limau negeri, tidak lama lagi.

Bagi merealisasikan usaha itu, seramai 31 pemilik dari Kampung Talong, di sini, akan mengusahakan tanaman itu secara sah di kawasan masing-masing.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negerj (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kerajaan negeri akan memastikan tanah berkenaan diusahakan di tanah masing-masing dengan kaedah yang betul dan mampu mendatangkan hasil dengan cepat.

"Hasrat kita untuk jadikan kawasan ini sebagai hab limau. Sekarang ini terpulang kepada mereka (penduduk), sama ada mengusahakannya sendiri, diserah kepada anak atau diusahakan bersama dengan penduduk yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau kebun limau milik penduduk, di Kampung Talong, semalam.









Menurut Ghazali, kerajaan negeri serius bagi membantu penduduk dan mengalakkan mereka  bercucuk tanam untuk menambah sumber pendapatan.

"Tambahan pula limau ini memulangkan hasil yang lumayan. Ianya akan diagihkan kepada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) untuk dipasarkan dan dijual ke seluruh negeri, malah berpotensi untuk dieksport ke luar negara," jelasnya.

Tambahnya, penduduk di kawasan itu sudah lama mengusahakan limau, bagaimanapun terdapat sedikit masalah berhubung status pemilikan tanah apabila dikatakan sebahagian RTB Sungai Rambai itu kepunyaan pengusaha (agensi) lain.

"Semoga ianya akan memberi kesejahteraan kepada penduduk di sini. Melalui usaha ini penduduk lebih bersungguh-sungguh mengusahakannya apabila tanah berkenaan milik sendiri," tegasnya.


Tag: