Kantin Sekolah Tidak Wajar Beroperasi Sepanjang Ramadan
DUNGUN, 21 Februari - Tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu kantin beroperasi seperti biasa ketika di bulan Ramadan adalah tidak wajar sekiranya ia turut melibatkan sekolah yang majoriti pelajarnya adalah beragama Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, adalah lebih baik kantin di sekolah kebangsaan tidak dibuka sebagai menghormati bulan yang penuh kemuliaan itu.
"Sebagai satu galakan atau dorongan supaya pelajar berpuasa, kalau mereka tidak berpuasa dia akan makan secara sembunyi bagi menghormati pelajar lain.
"Sebagai contoh pelajar darjah satu maka ibu bapa yang perlu menyediakan 'bekal' di samping memberikan pendidikan tentang puasa dalam bentuk memberi nasihat.
"Kita tidak perlu untuk paksa pelajar darjah satu ini berpuasa tetapi perlu diberi pendidikan agar kemuliaan bulan Ramadan itu dapat dihayati, tetapi saya lihat kebanyakan anak-anak masa kini bepuasa walaupun masih berada di bangku sekolah rendah,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, berhampiran Balai Bomba Jalan Santong,Paka, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata pihak pengusaha kantin sendiri pun tidak ada keperluan untuk meneruskan operasi mereka di bulan Ramadan.
"Sebenarnya tidak menguntungkan sangat pengusaha kantin, sebab pelajar ramai yang berpuasa maka sedikit sangat yang pergi makan di kantin.
"Jadi tidak padan untuk dia menyediakan makanan, adalah lebih baik mereka cuti dan boleh melakukan pekerjaan lain seperi menjual di pasar Ramadan yang lebih mendatangkan keuntungan,"jelas beliau.