Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Bakal Gegarkan Bumi Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Kerajaan Terengganu bakal mengadakan karnival Indahnya Hidup Bersyariat pada September depan sebagai usaha untuk merancakkan agenda pemerkasaan syariah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jawatankuasa karnival berkenaan sudah bersiap sedia dan hanya menunggu masa untuk menggegarkan negeri ini dengan pelbagai program acara.

"Pelbagai aktiviti dan pengisian akan diadakan seperti qiamullail perdana, subuh macam Jumaat, tadabbur kitab dan cerama perdana.

"Semua itu akan disediakan sebagai sajian rohani kepada seluruh rakyat Terengganu.

"Sama-sama kita realisasikan 'tagline' Terengganu Maju Berkat Sejahtera dan Indahnya Hidup Bersyariat," ujarnya melalui kenyataan di media sosialnya semalam.

Terdahulu, Dr Muhammad Khalil berkata slogan Indahnya Hidup Bersyariat yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada penggal ini sebagai langkah memperkasa serta meninggikan agenda pemerkasaan syariah yang menjadi matlamat kerajaan negeri.

Katanya, ia juga sebagai langkah berterusan dalam mengajak rakyat menghayati keindahan ajaran Islam.

"Fokus utama pelaksanannya adalah bagi memupuk kesedaran dan melantun keinsafan seluruh rakyat negeri Terengganu tentang peri pentingnya pelaksanaan dan pembudayaan hidup bersyariat.

"Sehingga kemuncaknya, kita mahu rakyat merasai sendiri kemanisan dan keindahan tatacara hidup Islam bermula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat seluruhnya," ujarnya.