• 22 Okt 2024 | 19 Rabiul Akhir 1446

Karnival Pantai 2024 Rekod Lebih 150,000 Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengakhiri Karnival Pantai Terengganu (KPT) 2024 dengan kejayaan yang memberangsangkan apabila mencatatkan lebih daripada 150,000 pengunjung.

Malah KPT 2024 yang berlangsung di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir selama empat hari berakhir 20 Oktober lalu juga menarik perhatian lebih daripada 2,000 peserta Temasya Sukan SUK Se-Malaysia (SUKSEM) yang turut sama menyemarakkan karnival berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Sulaiman Sulong berkata, ia bukan sahaja berupaya mengangkat budaya dan warisan negeri tetapi juga memberikan sokongan besar kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan.

“Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Pertandingan Bangsal Tradisi yang memberi peluang kepada setiap daerah untuk menunjukkan kreativiti dan kebolehan dalam menghias bangsal mereka menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti pelepah kelapa, daun nipah, kayu, dan buluh.

“Pelbagai aktiviti yang bersifat budaya, tradisi, dan warisan diperlihatkan sama ada daripada penganjur mahupun daripada setiap Pejabat Daerah sepanjang karnival berlangsung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Berucap Sempena Majlis Perasmian Penutup Dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Bangsal Tradisi Sempena Karnival Pantai Terengganu 2024.

Mengulas lanjut katanya, pameran seperti Bangsal Tradisi dan Karnival Makanan yang dianjurkan kali ini menunjukkan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan identiti Negeri Terengganu terus dikekalkan.

“Melalui penganjuran KPT ini juga, kita dapat lihat kesan positif terhadap ekonomi setempat, di mana lebih 60 vendor dan pelbagai usahawan tempatan turut mengambil bahagian.

“Selain itu, karnival ini turut menyokong usaha kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan budaya dan alam semula jadi,” ujarnya.

Katanya, diharapkan KPT akan menjadi acara tahunan yang dinanti oleh semua.