Karnival Pantai Terengganu Jadi Produk Pelancongan
Yahaya Ali (dua dari kiri) menyampaikan hadiah tempat pertama kepada pemenang Pertandingan Bangsal Tradisi kepada Daerah Kemaman. |
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu mahu menjadikan penganjuran Karnival Pantai Terengganu sebagai salah satu produk pelancongan di negeri ini.
Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali berkata, karnival pantai itu perlu diperkasakan untuk dijadikan satu produk pelancongan negeri.
“Terengganu sekarang ini sudah terkenal kepada para pelancong sebagai sebuah negeri yang cantik dan menarik.
“Kita ada pantai yang terpanjang di Malaysia, Tasik (Kenyir) yang terbesar. Ada sungai yang cantik, air terjun. Apa yang penting tempat-tempat yang menarik ada satu penambahbaikan, supaya pelancong-pelancong yang datang itu mendapat manfaatnya,
“Dengan adanya seni-seni budaya kita (kerajaan) melihat Terengganu ini mempunyai satu potensi yang besar terutama kepada para pelancong sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Terengganu pada Majlis Penutup Karnival Pantai Terengganu 2018, di Pantai Peranginan Batu Burok, Kuala Terengganu, pada 29 September.
Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali berucap pada Majlis Penutup Karnival Pantai Terengganu 2018 di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu |
Menurutnya, kepimpinan Terengganu juga akan meneruskan mana-mana program baik untuk rakyat dan negeri, meskipun yang pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.
“Program Karnival Pantai atau dahulunya Pesta Pantai ini pernah dilakukan oleh kerajaan (Barisan Nasional) sebelum ini.
“Program lepas mana yang baik boleh diteruskan dan mesti disesuaikan dengan hasrat kerajaan baharu. Terutamanya, mesti selari dengan kehendak Islam,” jelasnya.
Katanya, program kesenian Islam, permainan tradisional, masakan tradisional dan banyak lagi boleh diteruskan.
Yahaya Ali dan isterinya, Zarani Othman ketika melawat Bangsal Tradisi Daerah Marang |
Justeru, kata Yahaya, tidak timbul yang kerajaan baharu ini tidak mementingkan soal hiburan, warisan, kebudayaan dan sebagainya.
“Perkara-perkara yang bersifat pemujaan, pergaulan bebas lelaki dan wanita, itu tidak sesuai. Kita ada batasannya. Kita kawal dan rakyat boleh mendapat peluang untuk berhibur dalam suasana yang lebih harmoni,” tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman serta Timbalannya, Ustaz Sulaiman Sulong dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.