Berita :
Politik Kepentingan Diri Punca Rakyat Hilang Kepercayaan
Politik Kepentingan Diri Punca Rakyat Hilang Kepercayaan
Hafiz Rosli
7 jam yang lepas
195

KUALA NERUS, 5 April – Politik yang berasaskan kepentingan diri menjadi punca utama rakyat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan, sekali gus melemahkan kekuatan umat dan negara.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata pemimpin yang gagal memikul amanah dengan jujur serta lebih mengutamakan habuan dunia dan kedudukan akan menyebabkan rakyat semakin menjauh dan hilang keyakinan terhadap sistem politik yang ada.

“Apabila politik dipenuhi dengan kepentingan peribadi, perebutan kuasa dan pengaruh, maka rakyat akan hilang kepercayaan. 

"Ini antara punca kelemahan yang sedang dihadapi oleh umat pada hari ini,” katanya ketika menyampaikan pidato penutup sempena program Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah yang berempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.

Abdul Hadi berkata sejarah telah membuktikan kejayaan kepimpinan Rasulullah SAW dalam menyatukan manusia bukan bersandarkan ideologi ciptaan manusia, tetapi berteraskan iman dan petunjuk Ilahi.

Katanya, perpaduan yang dibina atas asas keimanan mampu melahirkan masyarakat yang kuat dan stabil, berbeza dengan sistem yang hanya bergantung kepada faktor kebendaan, bangsa atau kepentingan sempit.



"Kuasa politik adalah satu amanah besar yang mesti dipandu dengan nilai agama, bukan dijadikan alat untuk kepentingan peribadi.

“Kuasa bukan peluang untuk mengaut keuntungan, tetapi tanggungjawab untuk memimpin dengan adil. Apabila amanah ini diabaikan, maka berlakulah kerosakan dalam masyarakat.

"Kelemahan umat Islam hari ini berpunca daripada sikap terlalu mengejar kehidupan dunia sehingga mengabaikan matlamat akhirat, sekali gus memberi kesan kepada integriti kepimpinan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar kembali kepada konsep perpaduan yang sebenar dengan mengutamakan perkara asas dalam agama, di samping mengurus perbezaan pandangan dengan penuh hikmah dan toleransi.

“Perbezaan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan. Sebaliknya, ia perlu diurus dengan baik supaya dapat memperkukuh kekuatan umat.

"Kegagalan pelbagai ideologi ciptaan manusia pada hari ini seharusnya menjadi pengajaran bahawa Islam adalah satu-satunya sistem yang mampu membawa keadilan dan kesejahteraan sejagat," katanya.

Beliau berkata kebangkitan semula umat Islam hanya akan tercapai apabila kepimpinan kembali berpegang teguh kepada ajaran Islam secara menyeluruh, bukan sekadar pada nama atau slogan semata-mata.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan