KAWAT Promosi Terengganu Sebagai Destinasi Pelancongan Pilihan

HATYAI, 6 Mac- Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) komited dalam memberi gambaran imej sebenar Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang perlu dikunjungi melalui program Hari Media Pelancongan Malaysia dan Wilayah Selatan Thailand 2024

Presidennya, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad berkata, sebagai pengamal media, mereka boleh berperanan dengan membantu Jabatan  Pelancongan negeri mempromosi dan menarik minat rakyat luar negara  melancong ke Malaysia.

Menurutnya, KAWAT memberi penerangan mengenai situasi semasa industri pelancongan di Terengganu melalui seminar dan bengkel yang diadakan selama program itu berlangsung.

"Ini adalah peluang dan platform terbaik untuk KAWAT menjadi duta kecil pelancongan agar dapat berkongsi maklumat tepat dengan pengamal media dan penggiat industri pelancongan di wilayah selatan Thailand.

"Kami menerangkan mengenai keunikan dan keistimewaan produk pelancongan di Terengganu yang menjanjikan alam semulajadi yang masih tidak tercemar seperti pulau-pulau pelancongan dan Tasik Kenyir," katanya.

Lebih 50 media termasuk lapan ahli jawatankuasa KAWAT dari lima negeri Malaysia iaitu  Kedah, Kelantan, Perak dan Perlis  menyertai program tersebut yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Hatyai.

Dalam program tersebut, satu kerjasama khusus melalui media sosial juga dibentuk untuk menjadi rujukan semua pengamal media setiap negeri dalam mempromosikan produk pelancongan di kawasan masing-masing selepas ini.

Sementara itu, Noorazila Md Sani dari Jabatan Penyiaran Terengganu (RTM) berkata, sebagai pengamal media, pihaknya sentiasa menonjolkan serta mengetengahkan industri pelancongan sebagai satu jenama global khususnya daya tarikan budaya dan alam semula jadi yang unik yang boleh ditawarkan di negeri itu.

"Jelas peranan media dalam menyebarluaskan program dan aktiviti Tourism Malaysia sedikit sebanyak membantu memulihkan dan meningkatkan industri pelancongan di Terengganu sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan.

"Justeru itu, program Hari Media Pelancongan Malaysia dan Wilayah Selatan Thailand kali ini sangat positif kerana menyelami permasalahan dan potensi pelancongan untuk kedua-dua negara malah perlu diteruskanagar manfaatnya diterima segenap lapisan masyarakat di kedua-dua negara," katanya.