Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Kayuhan basikal amal ‘Bridge To Bridge’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu 2022 telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM 21,634 bagi membantu rakyat Terengganu yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.
Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato’ Zaini Jass berkata, hasil sumbangan tersebut adalah daripada sebahagian kutipan yuran dan sumbangan orang ramai.
“Penganjuran ini telah berjaya melibatkan penyertaan daripada sepuluh buah negeri dengan penyertaan seramai 1,126 peserta.
“Peserta termuda adalah berusia 12 tahun manakala peserta paling veteran berusia 73 tahun dari Segamat, Johor," katanya selepas program di Dataran Batu Buruk semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja serta Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.
Jelas Zaini, program yang dianjurkan ini juga bertujuan bagi merapatkan hubungan antara PDRM dengan masyarakat.
“Ini menunjukkan PDRM dan rakyat berpisah tiada, sesuai dengan moto yang selalu dipakai oleh PDRM.
“Program ini adalah program yang kita galakkan, apabila kita bersukan, kita tidak melupakan kepada mereka yang ditimpa bencana banjir,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, program ini mencapai objektif penganjurannya, kutipan sumbangan program ini juga akan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui kerajaan negeri.
“Melalui sumbangan ini juga, Kita juga mengalu-alukan kerajaan Terengganu agar dapat menyumbangkan sebahagian sumbangan ini kepada 48 keluarga PDRM Terengganu serta rakyat Terengganu yang terjejas banjir," tambah beliau.