KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM)  yang diadakan selama empat hari bermula 22 hingga 25 Februari di Dataran Shahbandari dijangka dihadiri lebih 150,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu.

KBTM yang dianjurkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) itu menyajikan  puluhan aktiviti antaranya jualan pakej pelancongan, persembahan silat, dikir barat, demontrasi anyaman kercut, wayang kulit, cabutan bertuah dan pelbagai lagi acara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata rekod tiga tahun sebelum ini sangat cemerlang kerana ia dihadiri lautan manusia.

"Penganjuran ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk mempergiatkan lagi kempen promosi sektor pelancongan negeri di samping dapat memperkenalkan seni budaya dan warisan yang terdapat di Terengganu.

"Karnival ini juga menjadi platform bagi memperkenalkan dan memasarkan pakej serta perkhidmatan berkaitan pelancongan yang disediakan oleh para pemain industri kepada pengunjung karnival," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan, KBTM 2024, di Dataran Shahbandar, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Razali berkata peluang penganjuran KBTM ini perlu diambil kesempatan oleh semua pengusaha dan penggiat pelancongan.

"Platform inu sebagai inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan negeri dan sekali gus menjadikan KBTN ini sebagai satu peluang untuk memasarkan dan menjual produk, pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata jumlah pengunjung yang disasarkan akan dapat dicapai kerana diadakan sempena cuti sekolah dan turut dimeriahkan dengan 'Havoc Food Festival 2024'.

"Dengan penganjuran KBTM ini diharap dapat menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.

"Daripada 3.6 juta pada tahun lalu kepada penetapan sasaran baharu kerajaan pada tahun ini iaitu seramai 4.5 juta pelancong," ujarnya.