Keagungan Israk Mikraj di Luar Batasan Sains

KUALA TERENGGANU, 18 Februari – Peristiwa Israk Mikraj adalah perjalanan luar bisa yang tidak boleh diukur oleh akal manusia dan melebihi batasan Ilmu Sains.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kisah itu adalah peristiwa penting yang dilalui Rasulullah S.A.W pada 27 Rejab.

Katanya, Baginda dibawa dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis (Israk) seterusnya ke Sidratul Muntaha (langit) bertemu Allah S.W.T (Mikraj).

“Ia berlaku dalam tempoh sebahagian malam sahaja dan Rasulullah S.A.W kembali semula ke Masjidil Haram.

“Peristiwa ini juga bersangkutan dengan kelajuan (masa) dan jarak kerana perjalanan Rasulullah S.A.W melalui suasana itu dalam masa yang amat singkat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan di Laman Facebook Rasmi Miliknya pada hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, pelbagai teori dikaitkan dengan perjalanan ini sebagai contoh Teori Kerelatifan oleh Albert Einstein, Teori Roger Penrose dan kewujudan lubang cacing atau wormhole oleh Dr. Stephen Hawking.

“Manusia juga sentiasa berfikir cara untuk keluar dari bumi ke angkasa lepas melalui perlumbaan keupayaan teknologi.

“Kapal terbang dan helikopter tidak boleh keluar dari bumi kerana tiada udara dan keupayaan untuk terbang lebih tinggi,” katanya.

Justeru, untuk keluar dari bumi, manusia memerlukan kekuatan penciptaan roket ataupun kapal angkasa lepas.

Jelasnya menurut al-Quran, terdapat tujuh lapis petala langit, tapi keupayaan kajian saintis hanya di bawah lapisan langit pertama.

Beliau berkata, jika difikir logik akal semakin jauh kedudukan, maka faktor masa itu makin lama.

Oleh sebab itu, di syurga atau neraka tidak ada relatif masa sebagaimana yang dikaji oleh ahli fizik seperti Albert Einstein.

"Semakin kita tengok jauh lebih luas daripada itu, maka rasa kecil sangatlah kita ini berbanding dengan kekuasaan Allah S.W.T," ujarnya.

 

 


Tag: