Kebenaran Buka Puasa Di Kawasan Lapang Dimuktamad 1 April

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Keputusan muktamad berkait kebenaran aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang, taman awam dan tepi pantai pada Ramadan tahun ini akan dimuktamadkan seawal-awalnya pada 1 April.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, buat masa ini ketetapan di peringkat Persekutuan tidak membenarkan aktiviti tersebut berdasarkan beberapa sebab.

“Pihak kami masih menunggu Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu susulan negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik berkuat kuasa 1 April ini, kita tunggu dan lihat apa ketetapan terbaharu nanti sama ada membenarkan atau tidak.

“Namun, keputusan yang ada hingga hari ini masih tidak membenarkan, ini kerana kes Covid-19 masih tinggi di samping wujud kluster baharu akibat pergerakan rentas negeri dan kurang pematuhan prosedur operasi standard (SOP),"katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan sama, Dr Alias berkata, semua masjid dan surau di seluruh negeri sudah dibenarkan menganjurkan majlis berbuka puasa.