Berita :
Kegilaan Mercun, Lebih Mudarat Daripada Manfaat
Kegilaan Mercun, Lebih Mudarat Daripada Manfaat
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
112

KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Fenomena 'bermain' mercun dan bunga api yang semakin berleluasa, khususnya semasa musim perayaan, wajar direnungkan semula kerana risiko yang ditimbulkan lebih besar daripada manfaatnya.

Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, Keputusan membenarkan penjualan mercun dan bunga api wajar dinilai semula, khususnya berkaitan aspek perlesenan.

Menurut beliau, mudarat kepada masyarakat umum dilihat jauh lebih besar berbanding manfaat ekonomi yang hanya dinikmati segelintir golongan peniaga.

"Keputusan memberikan lesen penjualan mercun dan bunga api adalah satu kesilapan. Mudharatnya kepada masyarakat umum jauh lebih besar berbanding manfaat yang mengisi poket segelintir 'tokey' dan penjual.

"Justifikasi dan rasionalisasi pemberian lesen wajib diteliti semula," tegasnya dalam satu kenyataan menerusi sosial media rasminya, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu menyifatkan situasi tahun ini sebagai paling membimbangkan sepanjang hidupnya, dengan peningkatan ketara aktiviti bermain mercun dalam kalangan masyarakat.

"lebih 50 tahun saya hidup atas muka dunia, tahun ini paling teruk kegilaan main mercun dan bunga api," ujarnya.

Meskipun mercun dan bunga api sinonim dengan musim perayaan, namun budaya ini turut membawa risiko kebakaran. 

Dalam konteks nasional, sejak awal tahun ini sehingga bulan lepas, sebanyak tujuh kes kebakaran melibatkan gerai jualan mercun telah direkodkan di seluruh negara.

Laporan media melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Nor Hisham Mohammad berkata, Johor dan Pulau Pinang merekodkan dua kes, manakala satu kes di Kuala Lumpur, Melaka dan kedah.

Media turut melaporkan kes terbaru termasuk kebakaran di Wakaf Che Yeh, Kelantan, akibat litar pintas dari sambungan wayar elektrik di gerai kedai makan ke khemah jualan mercun, serta insiden di Nibong Tebal, Pulau Pinang, yang menyebabkan letupan dan kerosakan kawasan sekitar.

Isu ini turut mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk Armada Bersatu Bahagian Nibong Tebal, yang menggesa penjelasan segera daripada pihak berkuasa mengenai kelulusan permit dan penguatkuasaan undang-undang.

Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk status permit pengusaha, lokasi jualan serta tindakan terhadap peniaga yang beroperasi tanpa lesen sah.

"Apakah status pengusaha-pengusaha jualan mercun dan bunga api yang kini semakin banyak beroperasi, seolah-olah'cendawan tumbuh selepas hujan'?. 

"Adakah kesemua pengusaha mercun dan bunga api ini memiliki permit yang sah? Jika ya, apakah jenis permit yang diluluskan serta syarat-syarat yang dikenakan?" soal kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, pihak berkuasa perlu memberi penjelasan segera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta memastikan tahap keselamatan awam dan penguatkuasaan undang-undang sentiasa terpelihara.


Ketupat

Artikel Berkaitan