'Kehilangan MH370, Teori Konspirasi Juga Perlu Diambil Kira' - MB Terengganu



KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan dan menyiasat segala maklumat diterima mengenai insiden MH370 walaupun ianya kecil termasuk teori konspirasi.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata walaupun setengah pihak tidak suka dengan teori konspirasi sepatutnya pasukan baru yang menyiasat tragedi itu harus mempertimbangkan apa jua perkara yang berkaitan walaupun sekecil-kecil maklumat.

"Siasatan kerajaan Malaysia tidak harus ditutup pada perkara yang belum ada kesudahan ini.

"Cuma bagaimana cara siasatan itu perlu dibuat 'term of reference' (terma rujukan) siasatan yang baru itu harus dilihat kembali oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Beliau yang juga pakar aeroangkasaberkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung dengan insiden itu di pejabatnya, di sini, semalam.

Seterusnya Dr. Samsuri berkata, beliau masih berpendapat insiden itu perlu dilihat dari pelbagai sudut berdasarkan maklumat yang ada pada waktu ini.

"Saya masih lagi mengulangi apa yang saya sebut sebelum ini iaitu melihat kembali secara berbagai sudut terhadap data-data yang sedia ada mengenai maklumat-maklumat yang ada pada waktu ini.

"Maklumat berbagai perkara dalam ilmu penerbangan dan keputusan-keputusan Pasukan Pencari dan Penyelamat (SAR) yang ada pada waktu ini, perlu dilihat kembali oleh 'Fresh Team' (Pasukan Baru) untuk melihat mana tahu ada ruang-ruang tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh pasukan sebelum ini," ujarnya.

Pada beliau kes berkenaan tidak ada kesudahan lagi.

"Jadi jika ada suara-suara atau pandangan yang mengatakan ada berita-berita baru, saya rasa ini adalah kesempatan kerajaan untuk mempertimbangkan apa jua penemuan dan apa jua pandangan.

"Sebab pada peringkat ini, kita tidak mampu untuk...walaupun setengah pihak tidak suka dengan teori konspirasi tetapi bagi saya untuk perkara misteri sebegini dan tidak ada kesudahannya, sepatutnya 'team' yang perlu diwujudkan itu, harus mempertimbangkan apa jua perkara walaupun sekecil-kecil maklumat," ujarnya lagi.

Sudah lima tahun pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak. Tidak ada siapa yang mengetahui di mana dan mengapa kapal terbang yang membawa 239 orang penumpang itu menemui nasib tragisnya pada Sabtu 8 Mac 2014.

Selepas tengah malam, jam 12.41 pagi, MH370 berlepas dari landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kapal terbang jenis Boeing 777-200ER itu dijadual mendarat di Beijing, China pada jam 06.30 pagi hari yang sama.


Tag: