Kejayaan Hui Ling Buka Mata, Tidak Perlu Takut Tulisan Jawi, Pendidikan Islam - MB Terengganu
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Ijtima' Kepimpinan Pemuda Islam Asia Kali Ke-2 semalam. |
KUALA LUMPUR, 22 Disember - Kejayaan Por Hui Ling, 11, seorang pelajar berketurunan Cina Hokkien dan beragama Buddha yang mencatat keputusan luar biasa apabila berjaya meraih 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang diumumkan baru-baru ini, memberi gambaran bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti dengan subjek pendidikan Islam dan tulisan jawi.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sekiranya masyarakat boleh memahami keadaan itu terutamanya golongan bukan Melayu, beliau percaya keharmonian itu akan mudah dicapai.
“Apa yang kita bimbangkan adalah apabila wujudnya satu kesangsian antara satu pihak dengan satu pihak yang lain dalam komuniti," ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Ijtima' Kepimpinan Pemuda Islam Asia Kali Ke-2 di Hotel De Palma, Ampang, Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, Hui Ling telah berjaya membuka mata ramai pihak bahawa walaupun hidup dalam pelbagai komuniti, masyarakat boleh terlibat dalam bidang pendidikan dan seumpamanya tanpa mengira latar belakang.
"Inilah antara gambaran sebuah kumpulan masyarakat yang lebih harmoni,” jelasnya lagi.
Foto ihsan - NSTP/ Berita Harian |
Anak ketiga daripada empat beradik itu meraih semua A untuk semua subjek agama iaitu Ulum Syariah, Pelajaran Jawi, Lughatul al-Quran (Bahasa Arab), Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Sirah, Adab dan Amali Solat.
Ini adalah pencapaian istimewa kali pertama yang dicatat di SKTJ oleh anak ketiga daripada empat beradik tersebut setelah memecah rekod abangnya, Por Jie Hao, 14, yang memperoleh 5A 3B dalam UPKK sebelum ini.