Dr Ahmad Samsuri menyampaikan plak penghargaan kepada Hui Ling.
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Kejayaan Por Hui Ling, 11, seorang pelajar berketurunan Cina Hokkien dan beragama Buddha yang mencatat keputusan luar biasa apabila berjaya meraih 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang diumumkan baru-baru ini dihargai melalui satu majlis khas oleh Paya Bunga Hotel Terengganu, semalam.

Sempena pembukaan hotel patuh syariah itu, Por Hui Ling turut diberikan plak penghargaan daripada Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dan hotel berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kejayaan pelajar dari Taman Desa Jaya Kampung Gong Pak Damak itu merupakan satu sejarah di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (SKTJ).

Beliau meraih semua A untuk semua subjek agama iaitu Ulum Syariah, Pelajaran Jawi, Lughatul al-Quran (Bahasa Arab), Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Sirah, Adab dan Amali Solat.

Hui Ling antara 57 daripada 138 murid yang menduduki UPKK memperolehi 8A di SKTJ pada tahun ini.

Ini adalah pencapaian istimewa kali pertama yang dicatat di SKTJ oleh anak ketiga daripada empat beradik tersebut setelah memecah rekod abangnya, Por Jie Hao, 14, yang memperoleh 5A 3B dalam UPKK sebelum ini.

Tag: