KUALA TERENGGANU, 15 November - Kejayaan projek perintis penanaman tembikai di Merang, Setiu membuka jalan kepada usaha Kerajaan Negeri Terengganu untuk memperluaskan lagi tanaman tersebut pada musim-musim akan datang.
Program yang dilaksanakan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), bermula dengan keluasan 10 ekar dan melibatkan lima usahawan tempatan.
Menurut beliau, kerajaan negeri melihat perkembangan ini sebagai bukti keberkesanan strategi pembangunan usahawan yang digerakkan sebelum ini.
"Realiti di lapangan, kita perlu pelbagai strategi untuk bantu rakyat. Berdasarkan pengalaman, beri duit belum tentu rakyat kita boleh berjaya.
"Bagi bantuan input dan peralatan, ada ketikanya input dan peralatan tersadai begitu sahaja. Malah ada yang dijual untuk mendapat hasil cepat.
"Setakat ini strategi buat projek dan masukkan usahawan sebagai peserta memberikan impak yang agak positif," katanya.
"Musim seterusnya akan diperluaskan lagi. Dengan sokongan dana kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan kerajaan negeri, TADC menyediakan infra, input, peralatan dan mekanisasi, sokongan teknikal sehingga pemasaran.
"Usahawan kita mari dengan tulang empat kerat mereka untuk bekerja," jelas beliau melalui satu hantaran Facebook rasminya, semalam.
Mengulas lebih lanjut, kejayaan peringkat awal ini menjadi asas penting untuk memperluaskan tanaman tembikai pada musim seterusnya, sekali gus memberi lebih peluang kepada usahawan tempatan.
"Dengan kejayaan ini, musim akan datang kita akan perluaskan kawasan tanaman agar lebih ramai usahawan dapat terlibat,” ujarnya.