Kekentalan Rakyat Palestin Mengerunkan Zionis Israel

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Zionis Israel gerun dan takut terhadap kekentalan rakyat Palestin ketika berhadapan dengan pelbagai kekejaman, kezaliman dan penindasan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, gencatan sejata dan perjanjian damai akan terus menjadi olokan bagi zionis.

"Mereka sebenarnya kalah dalam peperangan ataupun konflik ini walaupun mereka berjaya membunuh begitu ramai rakyat Palestin berbanding rakyat mereka yang terkorban.

"Tetapi dari segi akhlak, moral, budi bicara, politik mereka gagal masyarakat antarabangsa juga memandang zionis ini pada tahap yang begitu hina.

"Sehingga mayarakat antarabangsa tanpa mengira orang Islam ataupun bukan Islam mempertikaikan nilai-nilai yang ada pada negara haram Israel ini kerana selalui mencabuli undang-undang antarabangsa dan mereka tidak pernah mengikut peraturan-peraturan yang ada," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang akhbar Program Madinah Ramadan, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata, rundingan gencatan senjata di Kaherah untuk menghentikan peperangan di Gaza gagal kerana Zionis Israel sendiri tidak mahu berdamai.

"Kerana mereka begitu selesa dengan tindakan yang dilakukan (membantai umat Islam Palestin), cuma buat kami ini mereka agak bimbang kalau berdamai maka tidak akan dapat satu keadaan sebagaimana yang mereka rasai sebelum ini.

"Saya percaya konflik ini akan berterusan cuma tanggungjawab kita itu yang penting mesti sentiasa menunjukkan kebersamaan dengan saudara kita di Palestin dengan pelbagai cara, melalui doa, sumbangan dan sokongan modal dalam media sosial, insya-Allah," katanya.