Kelip-kelip Kampung Yak Yah Kembali 'Bercahaya'
KEMAMAN, 15 April - Populasi kelip-kelip di Kampung Yak Yah dikhabarkan meningkat sehingga 40 peratus sejak projek pemuliharaan habitat itu dilaksanakan bermula tahun 2022 lalu.
Direkodkan, pada tahun 2010 sejumlah 176 koloni sahaja yang terdapat di santuari itu dan merosot kepada 104 koloni pada tahun 2021.
Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah yang menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM5.3 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, dibangunkan Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) serta siap pada Mac tahun 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Santuari Kelip-kelip di Kampung Yak Yah akan menjadi satu lagi tempat yang menggamit dan menarik kedatangan warga Malaysia dan luar negara untuk menyaksikan cahaya daripada kelip-kelip.
"Kita tahu dalam keadaan zaman serba membangun dan moden, tentu banyak ekosistem semula jadi kita yang terkesan dengan suasana ini. Dengan adanya satuari Kelip-kelip ini, insya-Allah generasi baru akan kenal apa itu kelip-kelip dan keindahaan cahayanya.
"Ini sesuatu yang zaman dahulunya sering menjadi perhatian warga terdahulu, tetapi agak susah untuk melihatnya pada masa ini. Melalui inisiatif yang telah dilakukan, akhirnya kita dapat merealisasikan tempat khusus untuk generasi sekarang dan akan datang melihat keindahan kelip-kelip secara semula jadi.
"Saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pihak KPKT yang telah pun menyalurkan peruntukan untuk merealisasikan projek landskap yang agak hebat di daerah Kemaman ini," katanya selepas majlis perasmian santuari berkenaan, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, Ketua Pengarah JLN, Mansor Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Fadli Yusof Zakaria.
Aiman memaklumkan, pembangunan projek santuari kelip-kelip yang dilaksanakan bertujuan memulihara, restorasi dan rehabilitasi habitat kritikal untuk kelangsungan populasi kelip-kelip di ekosistem Sungai Chukai.
"Antara inisiatif yang diambil JLN ialah menanam 200 bakau, 2,000 berembang dan 500 nipah supaya membolehkan kelip-kelip hidup dan membiak menerusi dapatan kajian arkitek landskap dan pakar entimologi (kelip-kelip).
"Pusat ini akhirnya bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancong atau sekadar santuari kepada kelip-kelip tetapi juga satu platform penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan juga aktiviti kepada sukarelawan pemuliharaan habitat kelip-kelip yang ada di negara kita," katanya dalam sidang media selepas perasmian tersebut.
Jelasnya lagi, Santuari Kelip-kelip Kg Yak Yah merupakan antara santuari utama di bawah JLN selain diiktiraf sebagai salah satu lokasi kelip-kelip terunggul di Malaysia khususnya sebagai habitat semula jadi spesies Pteroptyx tener, sejenis kelip-kelip unik yang berkeupayaan berkelip secara serentak yang menjadi tarikan kepada pelancong eko dan peminat alam semula jadi.