Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
Kem Sri Pantai Seberang Takir yang menempatkan Batalion Ke-18 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dinaik taraf apabila bermulanya pengoperasian 18 RAMD sebagai sebuah Batalion Infanti (Para) yang dilancarkan, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, batalion yang dibentuk sejajar dengan penstrukturan semula Tentera Darat bagi mewujudkan pasukan elit yang lebih siap siaga dalam mendepani segala ancaman musuh dan menjaga keamanan negara.
“Terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Kasim yang mengistiharkan pengoperasian 18 RAMD (Para). Secara tidak langsung Kem Sri Pantai Seberang Takir Batalion 18 sudah dinaik taraf menjadikan pasukan tentera elit yang melibatkan tindakan ekstrim dan lebih agresif.
“Lebih-lebih lagi, rasa bertuah Batalion Ke-18 ini kerana mendapat dua panglima, Panglima 8 Briged dan Panglima 10 Briged. Secara tidak secara langsung akan memperkukuh dan memperkuatkan Batalion Ke-18 ini dan juga memberi banyak peluang serta manfaat daripada apa yang diisytiharkan pada hari ini,”kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Pengoperasian 18 RAMD, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, hari ini.
Sebelum itu, dalam ucapan beliau berkata, peranan pasukan keselamatan kita dalam menjaga keamanan dan keharmonian negara amat besar dan penting.
Katanya, mereka mungkin tidak mengharapkan balasan atau pengiktirafan kerana sememangnya sudah menjadi tugas dan tanggungjawab mereka untuk menjaga keamanan. Bagaimanapun,sebagai orang awam sekurang-kurangnya kita mencontohi semangat dan tahap profesionalisma anggota keselamatan untuk dijadikan inspirasi.
“Tambahan pula menjaga keamanan dan keharmonian bukanlah tugas pasukan keselamatan semata-mata. Saya sangat berharap, anggota masyarakat dapat bersama-sama meletakkan usaha menjaga keamanan dan kemakmuran ini sebagai agenda yang boleh dikongsi bersama. Elakkanlah dan jauhilah perkara yang boleh dianggap menjejaskan keamanan negara dan keharmonian kaum,”katanya.