KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri yang diadakan di bawah satu bumbung di Dataran Shah bandar, di sini meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung.
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain menjimatkan masa dan tenaga, secara tidak langsung ianya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim khususnya di kalangan kakitangan agensi dan anak syarikat kerajaan negeri.
“Sebelum ini setiap agensi kerajaan negeri mengadakan sambutan hari raya masing-masing tetapi untuk tahun-tahun akan datang ianya akan diadakan secara serentak sebegini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri di Dataran Shah Bandar, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Katanya, sebanyak 23 agensi dipertanggungjawabkan untuk menyediakan hidangan kepada para pengunjung.
Pada majlis yang bermula 10 pagi itu, tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai makanan termasuk kambing guling, ayam bakar, sate, nasi dagang, laksa, laksam, nasi gulai kawah, nasik minyak, apam balik, ketupat, lemang dan pelbagai masakan lain.