Contohi Pendekatan Dana Amanah, Sarawak Pimpin Pelihara Tanah Melayu
KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu telah mengadakan satu Kempen Keselamatan Kebakaran bersempena perayaan Tahun Baru Cina bertempat di Key Tronic Corporation (KTCC) Mall hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu, YS PPjB Nor Mahathir Muhamad berkata, tujuan kempen itu dilancarkan adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan masyarakat terutamanya sempena musim perayaan ini.
“Saya percaya di musim cuti yang panjang ini, akan dimanfaatkan oleh masyarakat untuk menziarahi rakan dan saudara serta keluarga mahupun melakukan aktiviti riadah di tempat percutian rekreasi.
“Namun, pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia ingin mengingatkan supaya langkah-langkah kawalan keselamatan kebakaran perlu sentiasa dititik beratkan bagi melindungi kita dari sebarang kebarangkalian musibah yang boleh berlaku.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran tersebut hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah bagi menyempurnakan majlis pelancaran itu.
Mahathir menegaskan bahawa kesiapsiagaan membendung kebakaran bergantung kepada persediaan awal daripada semua pihak masyarakat kerana ia mampu menentukan aspek keselamatan kebakaran.
“Untuk tujuan itu, Pihak Bomba Dan Penyelamat Malaysia telah menfokuskan penegasan dan penguatkuasaan melalui pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK) serta memastikan pematuhan kehendak kebombaan kepada setiap premis.
“Ini bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan juga ekonomi yang pesat di negeri ini terjamin daripada aspek keselamatan kebakaran seterusnya melindungi daripada risiko kemusnahan dan kehilangan nyawa”, ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa 103 pemeriksaan MBK pada tahun ini bermula sejak 13 Januari lalu telah dijalankan di premis tumpuan awam. Pemeriksaan itu dijadualkan untuk terus berkuatkuasa sehingga enam Febuari 2025.
“Daripada pemeriksaan ini, sebanyak 26 notis telah dikeluarkan yang membabitkan pelbagai kesalahan.
“Seperti kegagalan membina penggera kebakaran, ketidakfungsian lampu papan tanda keluar dan pelbagai lagi perkara yang tidak mematuhi akta bomba 1988”, tambahnya.