Kenapa Bagi Liridon Ambil Penalti?

KUALA NERUS, 26 Jun- Itu mungkin persoalan yang bermain di minda penyokong Terengganu FC, semalam.

Corak permainan Liridon Krasniqi sering menjadi igauan peminat musim ini dan kegagalan pemain pinjaman dari Johor DT itu menyempurnakan sepakan penalti dalam kekalahan Terengganu FC ke atas Kuala Lumpur City FC pada aksi separuh akhir Piala FA itu, menggores luka lebih dalam.

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagaimanapun ada jawapannya sendiri atas sebab itu.

"Saya sedikit marah kerana beberapa pemain saya yang lebih cergas, apabila diarahkan mengambil sepakan penalti, kebanyakan mereka enggan, takut.

"Pemain seperti Liridon yang bermain 120 minit, bekerja keras, mengambilnya dengan teruk dan sebelum itu, Nik Sharif (Haseefy), tetapi ok, penalti adalah penalti.

"Saya sendiri tanya Jordan (Mintah), tidak mahu. Saya tanya Faiz (Nasir), tidak mahu. Saya tanya Hakimi (Mohammad), seorang yang mempunyai sepakan bagus, juga tidak mahu," katanya dalam sidang media selepas Terengganu FC tumpas 4-2 dalam penentuan sepakan penalti, semalam.

Tambahnya, setiap pemain perlu yakin diri dan memikul tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti apabila berlaku situasi itu.

Menurut Tomislav, beliau tahu satu stadium penuh tekanan dan setiap orang mengharapkan sesuatu, iaitu menjaringkan gol.

"Disebabkan itu, saya letakkan Arif Fadzilah kerana saya tahu dia pemain berpengalaman dan melakukannya seperti dalam latihan.

"Saya tahu siapa yang sepak lebih baik. Tetapi biasanya, apabila terjadinya penentuan penalti, saya akan tanya siapa yang mahu ambil? Ada pemain muda, ada yang berpengalaman dan ini berlaku dalam bola sepak.

"Ini tidak bagus, kamu tahu siapa yang tidak pernah tersasar sepakan penalti? Hanya orang yang tidak mengambilnya," katanya hampa.

-Sebahagian gambar merupakan ehsan foto Terengganu FC.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: