SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
Mohd Nurkhuzaini menyampaikan ucapan kepada hadirin. Foto - Harish Fadzillah |
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM10 juta bagi membantu para usahawan di negeri ini sebagaimana janji manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, janji kerajaan negeri untuk mewujudkan tabung usahawan sebanyak RM10 juta setahun akan direalisasikan.
Ianya suatu jumlah besar yang belum pernah diperuntukkan kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di masa lalu.
“Jadi, ini juga satu cabaran untuk YPU melangkah maju jauh ke depan kerana prasarana sedang dan akan berada di depan kita. Macam mana kita nak gunakan sepenuhnya peruntukan yang ada ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Bersama Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Usahawan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 di Sumai Hotel pada Isnin, 3 September.
Namun, kata Mohd Nurkhuzaini, Kerajaan Negeri Terengganu tidaklah menjanjikan jumlah peruntukan RM10 juta itu dalam tempoh 100 hari pemerintahannya.
“Tapi kita taklah janji untuk adakan RM10 juta dalam masa 100 hari sebab, kita (kerajaan) telah mengkaji nak buat benda-benda ini kena buat kajian dulu, dengan (tempoh) 100 hari ini tak cukup untuk cari dana RM10 juta tetapi dalam tempoh yang ada sekurang-kurangnya satu penggal," ujarnya.
Tambah beliau, peruntukan sebanyak RM10 juta itu bakal dibawa masuk dalam Belanjawan (Bajet) 2019 kelak dan jika kewangan mengizinkan akan diluluskan.
Sehubungan itu, kerajaan hanya akan mengumumkan perkara yang benar mengikut kemampuan kewangan negeri agar tidak mengecewakan rakyat.
“Ini komitmen kita dan kita akan beritahu apa yang ada di alam nyata, bukan bulan dan bintang kita janjikan. Kita tidak mahu suatu hari kita akan tarik balik perkara-perkara sedemikian yang menyecewakan rakyat.
“Hari ini pun rakyat tanya bila RM10 juta nak ada ni? Jadi jangan kita mengecewakan rakyat kita, kebanyakan mereka cerdik belaka.
“Jangan kita jadikan harapan orang itu pada satu masa dan saat boleh diabaikan begitu mudah dengan persoalan-persoalan yang menyalahkan orang itu orang ini,” jelasnya merujuk kepada janji-janji Pakatan Harapan.