Dr. Ahmad Samsuri bersama pelajar AKMAL yang telah berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa satu tahun atau kurang untuk sesi 2018. |
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri juga sentiasa terbuka dengan kaedah yang diguna pakai oleh pihak swasta itu dalam memperkasakan pendidikan al-Quran di kalangan anak-anak pada awal usia remaja walaupun tidak mengaplikasikan sistem tersebut dalam pendidikan tahfiz di bawah kelolaan kerajaan negeri.
“Setakat ini belum lagi. Tengok dulu keadaan macam mana dan inisiatif yang dibuat oleh pihak swasta. Apa pun pihak kerajaan negeri sangat terbuka dengan apa jua modul yang ada dan digunapakai oleh mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) Kali Pertama di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengasas & Pengerusi Eksekutif AKMAL, Hussin Ismail.
Seramai 20 orang pelajar AKMAL telah berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa satu tahun atau kurang untuk sesi 2018.
Katanya, inisiatif yang dilaksanakan oleh AKMAL itu berupaya membentuk jiwa anak-anak supaya mampu berdepan dengan cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.
“Jiwa al-Quran yang ada dalam jiwa mereka itu akan dapat diterjemahkan dalam tindakan mereka pada waktu akan datang.
"Al-Quran adalah kalamullah yang tiada sebarang kesilapan padanya, terhimpun di dalamnya segala hujah dan punca sumber segala ilmu. Membaca, menghafal memahami dan mengajarnya dijanjikan kemuliaan di sisi Allah SWT," ujarnya.