KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu akan terus memberikan perhatian terhadap pengukuhan pendidikan berteraskan al-Quran dan kecemerlangan akademik bagi melahirkan generasi Ulul Albab yang mampu bersaing dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, pendekatan pendidikan di Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu perlu terus diperkasakan dengan memastikan aspek hafazan dan akademik bergerak seiring.
“Hasrat kita bukan sekadar melahirkan pelajar yang mampu menghafaz al-Quran, tetapi kita mahu mereka memahami, menghayati dan dalam masa yang sama mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
“Inilah kekuatan pendidikan IMTIAZ yang perlu kita pertahankan dan terus perkasa, iaitu membina generasi yang kuat hubungannya dengan al-Quran serta mempunyai ilmu dan kemampuan untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu 2026 di Dewan Kenangan, Terengganu Equestrian Resort (TER), pada Khamis.

Satiful berkata, kerajaan negeri kekal komited memastikan institusi pendidikan di bawah negeri terus berkembang serta mampu melahirkan modal insan berkualiti.
“Kita mahu pendidikan di Terengganu terus bergerak ke hadapan. Sebab itu kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan, khususnya dalam usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan tetapi mempunyai jati diri, akhlak dan pegangan agama yang kukuh,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya tidak melihat hafazan al-Quran dan pencapaian akademik sebagai dua perkara yang berasingan.
Sebaliknya, kedua-duanya perlu menjadi kekuatan yang saling melengkapi dalam perjalanan mereka menuntut ilmu.
“Jangan hanya mengejar keputusan yang baik tetapi mengabaikan al-Quran, dan jangan pula menjadikan hafazan sebagai alasan untuk tidak memberikan yang terbaik dalam akademik.
“Kita mahu anak-anak IMTIAZ membuktikan bahawa seorang hafiz dan hafizah juga mampu menjadi pelajar yang hebat dalam bidang sains, teknologi, profesional dan apa sahaja bidang yang mereka ceburi nanti,” katanya.
Beliau berharap ilmu, pengalaman dan latihan yang diperoleh sepanjang Program Khas Asasi Ulul Albab itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar apabila kembali meneruskan pengajian di sekolah masing-masing.
