Kerajaan Negeri Optimis Capai Sasaran 20 Ribu Unit Rumah Mampu Milik

KUALA NERUS, 16 Mac - Kerajaan negeri optimis dapat menyiapkan 20,000 unit rumah mampu milik  menjelang tahun 2023 seperti yang ditawarkan dalam manifesto.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sehingga kini pihaknya telah berjaya membina 90 peratus atau lebih 18,000 dari sasaran pembinaan 20,000 unit rumah.

"Ini termasuk pembinaan 162 unit rumah pangsa mampu milik di Kampung Banggol Pauh di sini yang dijangka siap pada Februari 2024.

"Lima blok RPMM itu dibina dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM41 juta dengan beberapa kemudahan seperti surau, tadika, gerai dan pondok pengawal," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Banggol Pauh, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Diraja dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak.

Tambahnya, RPMM Banggol Pauh juga menjadi projek perumahan pertama yang menawarkan dua unit kediaman mesra Orang Kurang Upaya(OKU).

Permohonan bagi projek RPMM Banggol Pauh ini nanti boleh dibuat melalui sistem ePerumahan di pautan https://eperumahan.terengganu.gov.my