Kerajaan Negeri Peruntuk RM2.5 Juta Tubuh Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar
Satiful Bahri Mamat. Foto ihsan - Manisfm |
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta menerusi Belanjawan 2019 bagi penubuhan Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar cawangan Negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan penubuhan Pusat Bahasa Arab (Markaz Lughah) yang pertama di Malaysia itu yang mana kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Mesir Oktober lalu.
Menurut beliau, penubuhannya memberi banyak manfaat kepada mahasiswa dan mahasisiwi di negeri Terengganu terutamanya dari segi penjimatan kos dan tempoh pengajian sebelum meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar.
Katanya, berperanan sebagai pusat persediaan dan penguasaan Bahasa Arab, ianya ditempatkan di Bangunan Hab Digital Terengganu, TD1303.
“Sekarang dalam proses penyeliaan tempat dan sebagainya, malah kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan untuk membaik pulih bangunan TD1303 untuk dijadikan pusat bahasa ini.
"Yang paling penting, Sijil Markaz Lughah ini diiktiraf di serata dunia dan menjimatkan masa para pelajar yang bakal meyambung pengajian di Universiti Al-Azhar kerana tidak perlu mengambil bidang bahasa Arab di sana, sebaliknya terus masuk ke kuliah," ujarnya ketika bersiaran di Manis.fm hari ini.
Katanya, kerajaan negeri bertuah kerana dapat bekerjasama dengan universiti berkenaan yang mempunyai sistem kurikulum yang baik dan para pensyarah yang berkemahiran dalam melatih para pelajar.