Sebahagian pelajar tekun menggunakan al-Quran Braille untuk mempelajari kalam Allah di Pertis Wilayah Terengganu. |
Belanjawan 2019 yang berjumlah RM2.015 bilion dibentangkan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini, dilihat sebagai bajet yang inklusif kepada semua kumpulan sasar termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) selari dengan usaha kerajaan memperkasa golongan itu.
Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, peruntukan yang mencecah kira-kira RM4 juta untuk OKU amat bermakna buat komuniti terbabit di negeri ini.
“Alhamdulillah, hasil daripada pembentangan Bajet 2019 yang dibentangkan baru-baru ini, saya mewakili OKU penglihatan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sangat prihatin terhadap komuniti OKU Terengganu.
“Antaranya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi mengembangkan program pengajian al-Quran Braille di negeri ini dengan menyediakan Pusat Pengajian Braille di Kemaman dan Besut sebagai tambahan pusat sedia ada di Kuala Nerus ini,” ujarnya kepada wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pejabat Pertis, di sini baru-baru ini (4 Disember).
Mohd Fauzi berkata, dengan peruntukan yang diberikan itu diharap Negeri Terengganu dapat melahirkan lebih ramai golongan cacat penglihatan yang boleh menguasai al-Quran selaras dengan visi Pertis sendiri untuk melahirkan golongan buta yang celik al-Quran.
“Malah dengan pertambahan pusat pengajian sebegini kita mengharapkan program pengajian al-Quran Braille ini dapat terus dikembangkan dan lebih menyeluruh sekali gus memudahkan golongan OKU penglihatan mempelajari al-Quran di kawasan masing-masing dan tidak hanya bertumpu di Pertis sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pelajar Pertis, Anis Sakinah A. Azizi, 21, turut menyokong penambahan pusat pengajian Braille di negeri ini.
“Saya sokong apa yang akan dilaksanakan kerajaan kerana dengan adanya pusat pengajian Braille yang baharu, ianya akan memberi manfaat kepada rakan-rakan yang senasib dengan saya untuk mempelajari al-Quran.
“Ini akan memudahkan golongan istimewa yang berada jauh dari Kuala Nerus untuk mendalami kalam Allah ini khususnya mereka yang tinggal di sekitar Kemaman dan Besut,” ujarnya.
Bagi tukang urut sambilan pula, Muhamad Azri Nasruddin Abd Rashid, 21, berpendapat Bajet 2019 yang memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membantu OKU menerusi Dana Prihatin Terengganu (D-HATI) untuk usahawan OKU sangat bermakna buat golongan senasib sepertinya yang terlibat dengan perniagaan.
Katanya, beliau amat berbesar hati kerana kerajaan prihatin terhadap komuniti OKU malah peruntukan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu usahawan OKU mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.
Katanya, beliau amat berbesar hati kerana kerajaan prihatin terhadap komuniti OKU malah peruntukan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu usahawan OKU mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.