Kerajaan Negeri Sasar Salur RM3 Juta Kepada Usahawan Terengganu Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan untuk menyalurkan RM3 juta melalui Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) tahun ini, sebagai usaha memperkasa usahawan tempatan.

Sejak diperkenalkan pada 2019, TUGAS telah menyalurkan lebih RM29 juta kepada 5,101 usahawan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, peningkatan jumlah pembiayaan ini berbanding RM2 juta tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pertumbuhan ekonomi usahawan.

"Skim ini bukan sekadar memberi pinjaman, tetapi menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan ke pasaran lebih luas, termasuk digital dan antarabangsa," katanya dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran TUGAS di sini, semalam.

Selain pinjaman, kerajaan negeri turut merancang untuk menghidupkan semula pemberian geran dalam bentuk barang menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebagai tambahan kepada peruntukan wakil rakyat.

"Dulu kita pernah beri RM50,000 setiap DUN. Insya-Allah, kita akan usahakan supaya bantuan ini dapat diteruskan," jelasnya.