KEMAMAN, 7 Jun - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menawarkan bantuan membina papan tanda premis dan pembungkusan produk bagi meningkatkan produktiviti perniagaan.
Pegawai Eksekutif Tinggi Pembiayaan YPU, Mohamed Nor Hasan berkata, pembinaan papan tanda kedai atau signboard bagi memperkenalkan kedai dan produk akan diberikan bantuan sebanyak 50%.
Katanya, bantuan tersebut diberikan oleh kerajaan kepada peserta yang cukup syarat dan layak dengan tidak melebihi jumlah sebanyak RM5 ribu.
"Bantuan papan tanda ini berkonsepkan 50-50 yang bermaksud YPU tanggung separuh dan peserta atau peniaga perlu bayar separuh lagi kos tersebut dengan tidak melebihi nilai yang telah ditetapkan.
“Berkenaan dengan bantuan pembungkusan produk pula, peserta boleh membuat permohonan dan menghubungi pihak YPU untuk keterangan yang lebih terperinci dan kaedah selanjutnya," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Program Bantuan Dana Peniaga dan Usahawan Negeri Terengganu (Putera) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal bertempat di Kompleks Paya Lasir, Kijal di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) DUN Kijal, Wahab Ahmad dan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal beserta 44 orang penerima bagi sesi ini.
Tambah Nor Hassan, keutamaan pembungkusan produk ini adalah barcode harga pada produk bagi memudahkan ianya memasuki pasaran terutama dipasaraya yang besar seperti Sabasun, TMG dan sebagainya
Menurutnya, YPU juga ada menyediakan pelbagai kursus bagi penambahbaikan produk dan pengurusan perniagaan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau berharap agar segala bantuan yang diperuntukan tidak disalahgunakan dan dapat memberi manfaat kepada golongan tersebut bagi membantu meningkatkan penjualan serta pendapatan mereka.