Kerajaan Persekutuan Perlu Bela Nasib Penoreh Getah


Oleh : Ariss Alias

SETIU - Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan perlu melaksanakan tanggungjawab membela nasib penoreh getah yang sering diabaikan kebajikan mereka.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, kerajaan negeri mendesak kerajaan pusat melaksanakan harga siling bagi menstabilkan pendapatan penoreh.

"Skim Insentif Penoreh (IPG) hendaklah ditambah baik oleh Kerajaan Persekutuan dan pihak-pihak yang bertanggungjawjawab.

"Kerajaan pusat wajar mengambil serius kebajikan penoreh getah di negara ini yang sering dipinggirkan.

"Siapa lagi yang akan membela nasib mereka jika bukan kerajaan yang diberi mandat," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini (19 September).


Sementara itu, seorang penoreh getah, Alpatlo Isa, 57, yang ditemui di Kampung Bukit Layat amat berharap agar harga lantai getah sekerap dapat ditetapkan oleh kerajaan pada harga RM4 sekilogram.

"Kami ini tidaklah berpendapatan tinggi, paling tinggi upah pun hanya antara RM500 hingga RM600 sebulan setelah dibahagikan hasil dengan tuan kebun," jelasnya.

Seorang lagi penoreh getah, Che Rosmin Che Soh, 57, berkata, keadaan penoreh diburukkan lagi dengan harga pasaran getah yang menjunam sehingga berada di paras RM2.20 sekilogram.

"Saya amat berharap kerajaan dapat menstabilkan harga getah, jika tidak kami sukar keluar dari aras kemiskinan sekiranya keadaan ini berterusan.

"Saya bernasib baik mempunyai pendapatan tambahan iaitu hasil tanaman padi, tetapi ramai sahabat-sahabat lain hanya mengambil upah menoreh, keadaan mereka amat perit dan sukar," tambahnya.

Tag: